NEW DELHI, 17 MAC – India kelmarin mengumumkan bahawa pilihan raya kebangsaan akan bermula pada 19 April, dengan Perdana Menteri berhaluan Hindu-nasionalis, Narendra Modi menjadi pilihan utama untuk memenangi penggal ketiga dalam demokrasi terbesar di dunia itu.
Hampir satu bilion orang layak untuk membuang undi dalam apa yang akan menjadi pelaksanaan terbesar francais demokrasi dalam sejarah manusia, yang berlangsung selama enam minggu.
Ramai yang menganggap pemilihan semula Modi sebagai kesudahan yang pasti, berikutan populariti perdana menteri 10 tahun selepas memegang jawatan dan kelebihan dalam persaingan yang tidak seimbang.
Pesaing-pesaingnya telah dilumpuhkan oleh pertelingkahan dalaman dan apa yang dikatakan pengkritik sebagai siasatan undang-undang bermotifkan politik yang bertujuan untuk menghalang mana-mana pencabar kepada parti pemerintah Bharatiya Janata (BJP).
“Kami akan membawa demokrasi ke setiap sudut negara,” kata ketua pesuruhjaya pilihan raya, Rajiv Kumar dalam satu sidang akhbar di New Delhi sambil mengumumkan tarikh pengundian.
“Ini adalah janji kami untuk menyampaikan pilihan raya kebangsaan dengan cara yang mana kami kekal sebagai contoh teladan demokrasi di seluruh dunia.”
Pengundian akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tujuh tahap antara 19 April dan 1 Jun.
Kertas-kertas undi dari seluruh negara akan dikira serentak pada 4 Jun dan biasanya diumumkan pada hari yang sama. – AFP