Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    India naik taraf misi teknikal kepada kedutaan di Afghanistan

    NEW DELHI, 10 OKT – India akan menaik taraf misi teknikalnya di Afghanistan menjadi kedutaan penuh, kata Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar hari ini ketika dia bertemu rakan sejawatnya dari Kabul di New Delhi.

    Rusia merupakan satu-satunya negara yang secara rasmi mengiktiraf kerajaan Taliban Afghanistan sejak mereka menguasai negara itu pada Ogos 2021, walaupun beberapa negara lain mempunyai kedutaan di Kabul.

    India sebelum ini mempunyai kedutaan besar di ibu negara Afghanistan sehingga pengambilalihan oleh Taliban, apabila kebanyakan diplomat dipanggil pulang dan fasiliti itu diturunkan statusnya menjadi misi teknikal.

    “Saya berbesar hati untuk mengumumkan hari ini peningkatan Misi Teknikal India di Kabul ke status Kedutaan India,” kata Jaishankar kepada Amir Khan Muttaqi.

    Lawatan Muttaqi yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ini merupakan kunjungan pertama oleh pemimpin kanan Taliban ke India sejak mereka kembali berkuasa.

    “Kita mempunyai komitmen bersama terhadap pertumbuhan dan kemakmuran,” kata Jaishankar dalam kenyataan yang disiarkan semasa pembukaan mesyuarat.

    “Bagaimanapun, ia diancam oleh risiko bersama keganasan rentas sempadan yang dihadapi oleh kedua-dua negara kita.”

    Pendekatan ketat Taliban terhadap undang-undang Islam mungkin kelihatan bertentangan dengan kerajaan nasionalis Hindu Perdana Menteri Narendra Modi, namun India berusaha memanfaatkan peluang tersebut. – AFP

    Menteri Luar Afghanistan sementara, Amir Khan Muttaqi (kiri) ketika menghadiri perundingan format Moscow mengenai Afghanistan di Moscow, Rusia, pada 7 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda