NEW DELHI, 17 MAC – Perdana Menteri India, Narendra Modi dan rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon, bertemu hari ini bagi memperdalam hubungan pertahanan dan ekonomi, sehari selepas kedua-dua negara mengumumkan penyambungan semula rundingan perjanjian perdagangan bebas.
Modi dan Luxon bertemu di New Delhi dan menandatangani perjanjian untuk memperkukuh kerjasama dalam pertahanan, pemprosesan makanan, farmaseutikal, tenaga boleh diperbaharui serta mineral kritikal.
Luxon berkata beliau mengadakan perbincangan yang ‘sangat produktif’ dengan Modi dan pemimpin India lain yang akan meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara.
Hubungan pertahanan termasuk latihan ketenteraan bersama, katanya.
“New Zealand komited untuk memperluaskan kerjasama dengan India dalam pelbagai bidang pertahanan dan keselamatan, perdagangan dan ekonomi, hubungan antara rakyat, pendidikan, pelancongan, sukan dan budaya,” kata Luxon dalam sidang media bersama Modi.

Luxon diiringi pemimpin perniagaan serta beberapa ahli parlimen dalam lawatan lima harinya ke India.
Kelmarin, India dan New Zealand bersetuju untuk menyambung semula rundingan perdagangan bebas yang telah tertangguh selama lebih 10 tahun.
Pengumuman itu dibuat selepas perbincangan antara Menteri Perdagangan dan Pelaburan New Zealand, Todd McClay, dan rakan sejawatannya dari India, Piyush Goyal. Ia sejajar dengan usaha terkini India untuk merundingkan perjanjian perdagangan dengan negara lain selepas bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengenakan tarif timbal balik ke atas barangan import dari beberapa negara, termasuk India.
Bulan lalu, India dan Kesatuan Eropah bersetuju untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas yang lama tertangguh menjelang akhir tahun ini. Satu perjanjian serupa antara India dan United Kingdom juga sedang dalam perancangan.
Kementerian Perdagangan India menyatakan bahawa perjanjian perdagangan bebas antara India dan New Zealand bertujuan untuk “mencapai hasil yang seimbang, meningkatkan integrasi rantaian bekalan dan memperbaiki akses pasaran.” Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Luxon berkata, “Melalui perdagangan, kita dapat merancakkan ekonomi kedua-dua negara, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan serta pendapatan lebih tinggi untuk rakyat New Zealand dan India.”
Jumlah perdagangan dua hala antara India dan New Zealand mencecah AS$1.7 bilion bagi tahun kewangan 2023-2024. – AP