NEW DELHI, 1 Jan – New Delhi dan Islamabad hari ini bertukar-tukar satu senarai yang mengandungi maklumat mengenai kemudahan nuklear dan banduan, menurut para pegawai.
Pertukaran itu dijalankan menerusi saluran diplomatik secara serentak di New Delhi dan Islamabad, menurut para pegawai Kementerian Luar India.
“Senarai pangkalan dan kemudahan nuklear diserahkan di bawah Perjanjian Larangan Serangan ke atas pangkalan Nuklear antara India dan Pakistan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian itu.
Majlis pertukaran yang diadakan hari ini merupakan pertukaran kali ke-28 secara berturut-turut antara kedua-dua buah negara berkenaan sejak 1992.
“Perjanjian yang ditandatangani pada 31 Disember 1988 dan mula berkuat kuasa pada 27 Januari 1991, menyediakan, antara lain, bahawa kedua-dua buah negara itu akan memaklumkan antara satu sama lain mengenai pangkalan dan kemudahan nuklear yang termasuk di bawah perjanjian pada hari pertama bulan Januari setiap tahun,” menurut kenyataan.
India dan Pakistan turut bertukar-tukar senarai nama orang awam dan nelayan yang ditahan di dalam penjara masing-masing.
Senarai pertukaran nama banduan dilakukan di bawah peruntukan perjanjian 2008 di mana senarai seumpama itu diserahkan antara satu sama lain pada setiap 1 Januari dan 1 Julai setiap tahun, menurut para pegawai.
“India telah menyerahkan senarai nama 249 orang banduan awam dan 98 orang nelayan Pakistan dalam tahan India kepada Pakistan.
Pakistan telah mengongsi senarai nama 54 orang banduan awam dan 483 orang nelayan dalam tahanannya, yang terdiri daripada warga India dan dipercayai warga negara itu,” kata Kementerian Luar India. – Xinhua