NEW DELHI, 25 NOV – India dan Pakistan menyuarakan harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru dilantik, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat untuk mengukuhkan lagi Perkongsian Strategik India-Malaysia yang Dipertingkatkan,” kata Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam perutusan tahniah semalam.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menerusi Twitter turut mengucapkan tahniah kepada Anwar.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau untuk mengeratkan lagi hubungan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara,” kata Shehbaz.
Sementara itu, Anwar menerusi Twitternya mengucapkan terima kasih kepada Modi atas perutusan tahniahnya dan menurut beliau, India ialah rakan kongsi penting bagi Malaysia.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan awda untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan dan budaya,” kata beliau.
Anwar dilantik Perdana Menteri Malaysia ke-10 semalam. – Bernama