Wednesday, November 20, 2024
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    India perlu segera rawat sistem kumbahan, saliran

    Gambar AFP

    NEW DELHI, INDIA – Mohammed Azhar menggendong anak saudaranya di sebelah longkang yang penuh dengan plastik dan lumpur hitam yang busuk, bukti kegagalan India merawat hampir dua pertiga daripada kumbahan bandarnya.

    “Kami selalu berada di dalam rumah. Kami akan jatuh sakit jika kami keluar,” kata lelaki berusia 21 tahun itu kepada AFP di kejiranan Delhi di Seelampur, di mana longkang terbuka penuh dengan plastik dan air berwarna kelabu mengalir di sepanjang lorong sempit.

    “Ia berbau busuk dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Kami terdedah kepada penyakit dan anak-anak selalu jatuh sakit,” tambahnya. “Tiada sesiapa yang akan membersihkan saluran itu.”

    India pada April lalu telah diunjurkan akan mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dengan hampir 1.43 bilion orang.

    Penduduk bandar diramalkan akan meningkat dalam dekad akan datang, dengan lebih 270 juta orang lagi diramalkan akan tinggal di kawasan bandar menjelang 2040.

    Seorang lelaki mencari bahan kitar semula ketika dia berjalan di atas penghadang yang terapung yang menghalang sisa dari saluran kumbahan menuju ke Sungai Yamuna di New Delhi.
    Seorang wanita berjalan di sepanjang jalan di atas saluran kumbahan yang dipenuhi sampah di kejiranan Seelampur di New Delhi.
    Orang ramai berjalan di sepanjang jalan di sebelah saluran kumbahan yang dipenuhi sampah di kejiranan Seelampur di New Delhi.
    Gambar menunjukkan bangunan kediaman bersebelahan dengan saluran kumbahan yang dipenuhi sampah di kejiranan Seelampur di New Delhi.

    Tetapi dengan 72 bilion liter kumbahan yang kini dijana di pusat bandar setiap hari, 45 bilion liter – yang cukup untuk mengisi 18,000 kolam renang bersaiz Olimpik – tidak dirawat dengan baik, menurut statistik kerajaan pada 2020-21.

    Sistem pembetungan India tidak bersambung dengan kira-kira dua pertiga daripada rumah di kawasan bandar, menurut Perikatan Pengurusan Najis dan Septik Kebangsaan (NFSSM).
    Banyak loji rawatan kumbahan yang beroperasi tidak mematuhi piawaian, termasuk 26 daripada 35 kemudahan di Delhi, menurut laporan media.

    Ditambah dengan jumlah besar efluen industri, kumbahan itu menyebabkan penyakit, mencemarkan saluran air India, membunuh hidupan liar dan meresap ke dalam air bawah tanah.

    Walaupun India telah mencapai kemajuan besar dalam mengurangkan kematian kanak-kanak, cirit-birit, yang kebanyakannya disebabkan oleh air dan makanan yang tercemar, namun ia kekal menjadi pembunuh utama.

    Lebih 55,000 orang kanak-kanak bawah lima tahun meninggal dunia akibat cirit-birit di seluruh India pada 2019, menurut kajian yang diterbitkan tahun lepas dalam jurnal saintifik Kesihatan Awam BMC.

    Sungai Yamuna di Delhi adalah salah satu sungai paling kotor di dunia dan dianggap mati secara ekologi, walaupun orang ramai masih mencuci pakaian dan mandi ritual di dalamnya.

    Sungai itu sering berkepul dengan buih putih, dan kemudahan yang memproses air minuman dari sungai untuk 20 juta penduduk Delhi kerap ditutup kerana paras ammonia berbahaya.

    Walaupun terdapat beberapa usaha untuk menanam lebih banyak pokok di tepi sungai, keadaan di tempat lain juga sama di bandar-bandar besar termasuk Mumbai dan Chennai.

    Di Bengaluru, Tasik Bellandur yang besar sekali-sekala terbakar apabila metana, yang dihasilkan oleh bakteria yang memakan kumbahan di dalam air yang kehabisan oksigen, bernyala.

    Mridula Ramesh, yang merupakan pengarang buku mengenai masalah air di India yang tinggal di rumah yang menghasilkan ‘hampir sifar bersih bahan buangan’, berkata merawat kumbahan dengan betul menjadi air yang boleh digunakan akan membantu menyelesaikan krisis.

    Menurut Bank Dunia, India adalah salah sebuah negara yang mengalami isu kekurangan air paling tinggi di dunia, dengan permukaan atas air tanah yang menurun dan hujan monsun yang semakin tidak menentu.

    Chennai hampir kehabisan air buat seketika pada 2019, dan bandar lain mungkin akan mengalami bencana serupa pada tahun-tahun akan datang akibat pengepaman air bawah tanah yang berlebihan dan kemeruapan hujan.

    “India sedang menuju ke arah krisis air. Saluran kumbahan dengan mudah boleh digunakan untuk memeranginya dan membantu kami dalam sebahagian besar menyelesaikan masalah di bandar kami,” kata Ramesh kepada AFP.

    Ia boleh dicapai dengan loji rawatan pusat yang sebahagiannya dibiayai oleh sektor swasta atau pertubuhan bukan kerajaan, dengan beberapa kumbahan yang dirawat sepenuhnya digunakan semula atau dilepaskan ke tasik tempatan.

    “Air India sangat bermusim. Kebanyakan bandar di India mendapat 50 hari hujan tetapi kumbahan terhasil setiap hari kerana awda pergi ke bilik air setiap hari. Ia adalah ‘senjata’ yang sangat berkuasa,” katanya.

    Bagi Khalil Ahmad, berdiri di tepi longkang terbuka yang dikerumuni lalat di Seelampur, penyelesaian perlu dibuat dengan segera.

    “Kanak-kanak terus jatuh sakit, jika mereka tidak mendapat rawatan dan ubat, mereka akan mati,” katanya kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda