NEW DELHI, 23 OKT – India mencadangkan peraturan baharu yang menyeluruh untuk mentadbir kecerdasan buatan(AI) dengan tujuan untuk kekang lonjakan maklumat yang salah dan video palsu yang semakin berleluasa di negara paling ramai penduduk dalam dunia itu.
Kementerian Teknologi Maklumat mengumumkan pindaan yang dicadangkan dengan memetik, “penyalahgunaan teknologi yang semakin meningkat dalam penciptaan atau penjanaan media sintetik”.
“Insiden terkini membabitkan audio palsu, video dan media sintetik menjadi tular di platform sosial telah menunjukkan potensi AI generatif untuk mencipta kepalsuan yang meyakinkan,” menurut kenyataan daripada kementerian yang dikeluarkan lewat kelmarin.
“Kandungan sedemikian boleh digunakan sebagai senjata untuk sebarkan maklumat salah, rosakkan reputasi, manipulasi atau mempengaruhi pilihan raya, atau melakukan penipuan kewangan,” tambahnya.
India mempunyai lebih daripada 900 juta pengguna internet, menurut Persatuan Internet dan Mudah Alih India. China mempunyai lebih ramai pengguna internet, tetapi India lebih terbuka kepada syarikat teknologi Amerika Syarikat.
Kerajaan telah pun lancarkan portal dalam talian bernama Sahyog yang bermaksud ‘bekerjasama’ dalam bahasa Hindi, bertujuan untuk mengautomasikan proses penghantaran notis kerajaan kepada perantara kandungan seperti X dan Facebook.
“Pindaan yang dicadangkan ini menyediakan asas undang-undang yang jelas untuk pelabelan, kebolehkesanan dan akauntabiliti,” tambahnya, sambil berkata ia akan, “menguatkan kewajipan usaha yang wajar” oleh pengantara media sosial. – AFP


