India rancang laksana ‘air bubble’

NEW DELHI, 17 JULAI – India sedang membuat perancangan melaksanakan ‘air bubble’ dengan banyak negara untuk menghidupkan kembali perjalanan antarabangsa di beberapa laluan, ketika negara itu terus memindahkan warganya dari seluruh dunia di tengah-tengah pergolakan COVID-19.

Dalam inisiatif untuk memperluas penerbangan antarabangsa, ‘air bubble’ dengan Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Perancis dan Jerman sedang dibuat dan beberapa lagi negara lain, Menteri Penerbangan Awam Hardeep Singh Puri berkata dalam catatan media sosial.

Di bawah perancangan itu juga, ia akan membolehkan syarikat dari ne-gara-negara ini untuk mengendalikan penerbangan dari dan ke India bersama dengan syarikat penerbangan India.

“Saya pasti ini akan bermanfaat bagi warganegara kita yang mengalami tekanan dan kesukaran di luar negara atau mereka yang ingin keluar,” kata Puri.

India telah memindahkan 687,000 warganya dari negara lain sehingga 16 Julai di bawah misi ‘Vande Bharat’, dilancarkan pada Mei untuk membantu mereka dalam kesukaran akibat COVID-19.

Warga yang kembali termasuk lebih 100,000 melintasi sempadan darat Nepal, Bhutan dan Bangladesh, dan 3,789 dipindahkan dengan kapal tentera laut India dari Maldives, Sri Lanka serta Iran.

Sebilangan besar penerbangan pemindahan, dikendalikan berdasarkan pembayaran, dilakukan syarikat penerbangan nasional Air India, tetapi syarikat penerbangan tempatan dan juga syarikat penerbangan asing turut serta dalam pemindahan tersebut.

Dari Malaysia, seramai 4,679 orang rakyat India pulang dengan penerbangan seperti itu antara 9 Mei dan 11 Julai, kata Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur baru-baru ini. – Bernama