KUALA LUMPUR, 7 OGOS – Momentum kecemerlangan skuad hoki lelaki negara di permulaan kempen Kejohanan Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2023 tidak dapat diteruskan lagi, selepas ia dibelasah 0-5 oleh juara tiga kali, India di Chennai, malam tadi.
Pesta gol tuan rumah bermula pada minit ke-15 menerusi jaringan padang oleh Selvam Karthi dalam perlawanan berlangsung di Stadium Mayor Radhakrishnan.
Selepas tiada jaringan dihasilkan pada suku kedua, India kembali mengganas apabila menjaringkan dua gol daripada pukulan sudut penalti, masing-masing oleh Hardik Singh pada minit ke-32 dan Harmanpeet Singh, 10 minit kemudian.
India terus menambah derita skuad kendalian A. Arul Selvaraj apabila giliran Gurjant Singh menyumbat masuk gol padang pada minit ke-53 dan Jugraj Singh melengkapkan kemenangan besar mereka dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti, selang seminit kemudian.
Kemenangan bergaya India menyaksikan mereka mengumpul tujuh mata, sekali gus memintas Malaysia yang memungut enam mata untuk berada di tempat teratas kumpulan selepas tiga perlawanan.
Malaysia yang membuka tirai kempen kejohanan itu dengan menumpaskan Pakistan 3-1, Khamis lepas diikuti kemenangan 5-1 ke atas China, Jumaat lepas bakal membuat perhitungan dengan Jepun, petang ini. – Bernama
