NEW DELHI, 28 APRIL – Angka kematian koronavirus India melonjak melepasi angka 200,000 hari ini ketika gelombang jangkitan kes baharu COVID-19 tak berkesudahan membanjiri hospital-hospital dan membuatkan keluarga terdesak mencari bekalan oksigen dan bekalan ubat-ubatan di jalan-jalan di ibu negara.
Kadar jangkitan dan kematian meningkat di negara besar dengan populasi 1.3 bilion itu, berbeza dengan Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah yang mengambil langkah tentatif kembali kepada kehidupan normal.
Menawarkan sinar harapan mengatasi pandemik, pengasas bersama BioNTech – yang membangunkan vaksin Pfizer – mengatakan beliau yakin vaksin itu akan berkesan terhadap varian yang membelenggu India.
Sementara itu di New Delhi, tempat meletak kereta diubah menjadi pusat pembakaran dan peningkatan jumlah kematian juga menyebabkan kekurangan kayu untuk proses pembakaran mayat, satu tradisi di India.
Sanak-saudara sakit pula terdesak berkumpul di luar hospital dan farmasi untuk mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan, satu langkah hampir sia-sia.
Pesakit dan keluarga yang terdesak tiba menggunakan kereta, beca dan ambulans juga terdesak mencari oksigen di luar sebuah khemah sebuah kawasan ibadat Sikh di pinggir ibu negara minggu ini.
Namun di sebalik peningkatan kes, seramai 25,000 orang masih mengambil bahagian dalam festival keagamaan Kumbh Mela, mandi-manda di sungai Ganges di bandar Haridwar, kata pegawai festival, Harbeer Singh memberitahu AFP.
Perhimpunan menarik berjuta-juta penghijrah, kebanyakannya tanpa penutup mulut dan hidung, menyebabkan kritikan ke atas kerajaan nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi yang membenarkan ia diteruskan. – AFP
