India sambung eksport vaksin Oktober ini

NEW DELHI, 20 SEPT – India akan meneruskan kembali pengeksportan vaksin-vaksin COVID-19 bermula Oktober ini, lima bulan selepas ia berhenti menghantar bekalan ke luar negara ketika ia bergelut dengan gelombang jangkitan maut, kata menteri kesihatan hari ini.

Negara gergasi Asia Selatan yang digelar ‘farmasi dunia’ merupakan pembekal utama kepada program Covax yang bertujuan merangsang imunisasi di negara-negara miskin. Pengeksportan dihentikan pada April, menurut data kementerian luar negeri, apabila virus memuncak di India telah mendorong sistem penjagaan kesihatan ke peringkat paling kritikal dan permintaan besar bagi vaksin tersebut.

Menteri Kesihatan, Mansuh Mandaviya berkata lebih 300 juta dos vaksin akan dihasilkan pada Oktober dan satu bilion dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.

“India akan menyambung semula pengeksportan vaksin…untuk memenuhi komitmen India ke atas Covax,” kata Mandaviya dalam satu kenyataan. “Sisa bekalan vaksin akan digunakan untuk memenuhi komitmen kami terhadap dunia bagi memerangi COVID-19 secara bersama.”

Dilancarkan pada Januari, kempen vaksinasi India berjalan perlahan kerana kekurangan vaksin dan keraguan dalam kalangan penduduk.

Namun ia kemudian berjalan lancar beberapa minggu kebelakangan dengan pihak berkuasa ketika ini memberikan antara lima hingga lapan juta suntikan koronavirus setiap hari. Negara itu mencatat rekod memberikan vaksin sebanyak 22 juta sehari pada Jumaat sebagai sebahagian daripada kempen vaksinasi khas sempena ulang tahun Perdana Menteri Narendra Modi. – AFP