Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    India sambung semula perkhidmatan pos ke AS

    NEW DELHI, 15 OKT – India mengumumkan kelmarin bahawa semua kategori perkhidmatan pos antarabangsa ke Amerika Syarikat (AS) akan disambung semula bermula hari ini.

    Perkhidmatan pos ke AS sebelum ini digantung melalui Memorandum Pejabat bertarikh 22 Ogos, susulan pengeluaran Perintah Eksekutif 14324 oleh pentadbiran AS yang menggantung layanan de minimis bagi semua penghantaran pos.

    Penggantungan itu diperlukan bagi memenuhi keperluan peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) berhubung kutipan dan bayaran balik duti import.

    Selepas pembangunan sistem secara meluas, penyelarasan dengan pihak yang diluluskan CBP dan kejayaan operasi di kawasan Delhi dan Maharashtra, India Post kini telah mewujudkan mekanisme pemprosesan Delivery Duty Paid (DDP) yang mematuhi peraturan.

    Di bawah aturan baharu ini, semua duti kastam yang dikenakan ke atas penghantaran ke AS akan dikutip terlebih dahulu di India semasa pesanan dibuat dan dibayar terus kepada CBP melalui pihak yang diluluskan.

    Langkah ini memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan, pelepasan kastam yang lebih pantas serta penghantaran yang lancar kepada penerima di AS tanpa sebarang duti tambahan atau kelewatan.

    Menurut garis panduan CBP, duti kastam bagi penghantaran pos dari India ke AS dikenakan pada kadar tetap 50 peratus daripada nilai FOB yang diisytiharkan, di bawah tarif Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) dengan negara asal India.

    Tidak seperti penghantaran kurier atau komersial, tiada duti asas tambahan atau duti khusus produk dikenakan ke atas barangan pos. – ANN/The Statesman

    Orang ramai berjalan melintasi pejabat India Post di New Delhi pada 24 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda