Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    India sandang jawatan Presiden G20, Majlis Keselamatan PBB

    NEW DELHI, 1 DIS – India menyandang jawatan presiden G20 dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mulai hari ini, lapor Sputnik.

    G20 ialah forum antara kerajaan yang dianggotai 19 negara serta Kesatuan Eropah. Forum itu menyumbang 85 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global, 75 peratus daripada perdagangan antarabangsa dan dua pertiga daripada penduduk dunia.

    Penubuhan G20 bertujuan menangani isu utama berkaitan ekonomi global termasuk kestabilan kewangan antarabangsa, mitigasi perubahan iklim dan pembangunan mampan.

    India memegang jawatan itu bermula 1 Disember sehingga 30 November 2023 dan akan menjadi tuan rumah untuk kira-kira 200 mesyuarat kumpulan di peringkat berbeza, sepanjang tahun depan, dengan acara utama sidang kemuncak G20 berlangsung di ibu negara itu, New Delhi dari 9-10 September 2023.

    India juga merupakan ahli Troika G20 termasuk Indonesia, presiden G20 sebelum ini dan Brazil yang akan mengambil alih jawatan presiden kumpulan itu pada akhir 2023.

    Gambar fail Perdana Menteri Narendra Modi semasa memegang tukul kayu bersama Presiden Indonesia Joko Widodo semasa majlis penyerahan jawatan presiden G20 pada sidang kemuncak di Nusa Dua, Bali baru-baru ini. India akan memegang jawatan pengerusi G20, dengan agenda ekonomi, keselamatan makanan akan jadi keutamaannya. – AP

    Pada awal tahun itu, pegawai India menyatakan bahawa keutamaan India adalah untuk pertumbuhan ekonomi global, isu hutang awam dan keselamatan makanan dan tenaga, sepanjang memegang jawatan presiden kumpulan.

    Pada hari sama, India juga memegang jawatan presiden Majlis Keselamatan PBB sehingga akhir bulan, kali kedua New Delhi menjadi presiden UNSC sejak Ogos 2021.

    Semasa memegang jawatan itu, India akan menganjurkan beberapa mesyuarat mengenai usaha memerangi keganasan dan pembaharuan pendekatan pelbagai hala terhadap cabaran global, dengan Menteri Luar, India Subrahmanyam Jaishankar mempengerusikannya.

    Majlis Keselamatan PBB terdiri lima anggota tetap termasuk Rusia, China, Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang memegang kuasa veto dan 10 ahli tidak tetap yang dipilih untuk tempoh dua tahun.

    Selama bertahun-tahun, India berusaha mendapatkan kerusi tetap di Majlis Keselamatan bersama Brazil, Jerman dan Jepun. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...