India sasar neutral karbon tahun 2070

GLASGOW, 2 NOV – Ekonomi India akan beralih kepada neutral karbon menjelang 2070, umum Perdana Menteri negara itu, Narendra Modi, pada sidang kemuncak iklim COP26, semalam.

“Menjelang 2070, India dijangka mencapai sasaran sifar-bersih pelepasan gas berkenaan,” katanya pada persidangan dihadiri lebih 120 pemimpin dari serata dunia itu.

India adalah antara negara penyumbang utama pencemaran karbon di dunia, yang terakhir mengumumkan sasaran itu.

Sebelum ini, China mengumumkan sasaran untuk mencapai matlamat sama menjelang 2060, manakala Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah pula pada 2050.

Seterusnya, Modi memaklumkan India juga akan meningkatkan sasaran berhubung kapasiti terpasang ‘tenaga bukan fosil’ yang kebanyakannya membabitkan solar, daripada 450 kepada 500 gigawatt.

Gambar bertarikh 6 Oktober menunjukkan panel solar di Saurya Urja Company of Rajasthan Limited di Taman Solar Bhadla di Bhadla, utara negeri Rajasthan, India. – AFP

Selain itu, katanya, 50 peratus daripada keperluan tenaga di India akan diperoleh daripada sumber boleh diperbaharui menjelang tahun sama.

Beliau turut mengumumkan intensiti karbon daripada ekonomi India – jumlah pelepasan gas dihasilkan per unit Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) – akan dikurangkan sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding sasaran 35 peratus sebelum ini.

Bagaimanapun, Modi menjelaskan, ikrar pengurangan pelepasan gas oleh India serta negara membangun lain akan memerlukan pembiayaan kewangan daripada pihak penyumbang yang kaya dan berpengaruh.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara sektor utama yang menjadi sasaran India dalam usaha menangani pelepasan karbon ialah pengangkutan kereta api.

“Lebih ramai penumpang berbanding keseluruhan populasi dunia, melakukan perjalanan menggunakan kereta api India setiap tahun.

“Sistem kereta api yang mega ini mempunyai sasaran sendiri ke arah menjadi ‘sifar-bersih’ menjelang 2030. Inisiatif ini saja bakal mengurangkan pelepasan gas hingga 60 juta tan setahun,” katanya. – AFP