NEW DELHI, 27 OGOS – India kini bersiap sedia menghadapi tamparan hebat terhadap perdagangan luar negerinya apabila tarif tinggi Amerika Syarikat (AS) mula berkuat kuasa ke atas pelbagai produk India hari ini – langkah yang mengancam lebih separuh daripada jumlah eksport India ke pasaran terbesar negara itu serta menonjolkan kelemahan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
Presiden Donald Trump pada awalnya mengumumkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan India. Namun, awal bulan ini beliau menandatangani perintah eksekutif untuk menambah lagi 25 peratus tarif susulan pembelian minyak Rusia oleh India, menjadikan jumlah tarif yang dikenakan Amerika ke atas sekutunya itu mencecah 50 peratus keseluruhannya.
Kerajaan India menganggarkan tarif tersebut akan memberi kesan kepada eksport bernilai AS$48.2 bilion. Pegawai-pegawai memberi amaran bahawa cukai baharu ini boleh menjadikan penghantaran ke AS tidak lagi berdaya saing, sekali gus mencetuskan kehilangan pekerjaan serta memperlahankan pertumbuhan ekonomi.
Hubungan perdagangan India-AS berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini namun kekal terdedah kepada pertikaian mengenai akses pasaran dan tekanan politik domestik. India, salah sebuah ekonomi utama yang paling pesat berkembang, dijangka berdepan risiko kelembapan akibat perkembangan ini.
Menurut anggaran Global Trade Research Initiative yang berpangkalan di New Delhi, sektor padat tenaga kerja seperti tekstil, barang kemas, barangan kulit, makanan dan automotif akan menerima kesan paling besar.
“Rejim tarif baharu ini adalah kejutan strategik yang mengancam untuk menghapuskan kehadiran lama India di pasaran AS, sekali gus mewujudkan pengangguran di hab berasaskan eksport serta melemahkan peranannya dalam rantaian nilai industri,” kata pengasas badan pemikir itu merangkap bekas pegawai perdagangan India, Ajay Srivastava.
Bagaimanapun, AS buat masa ini mengecualikan beberapa sektor seperti farmaseutikal dan barangan elektronik daripada tarif tambahan, memberikan sedikit kelegaan kerana India mempunyai pegangan besar dalam sektor tersebut.
Puran Dawar, pengeksport kasut kulit dari Agra, berkata industri itu akan terjejas teruk dalam tempoh terdekat melainkan permintaan domestik dan pasaran luar lain menambah pembelian barangan India.
“Ini benar-benar satu kejutan,” kata Dawar, yang perniagaannya dengan AS meningkat sejak beberapa tahun lalu. Antara pelanggannya ialah peruncit fesyen utama Zara. – AP


