SRINAGAR, 26 JAN – Pihak berkuasa di wilayah Jammu dan Kashmir sedang menyiasat penyakit misteri yang sudah meragut sekurang-kurangnya 17 nyawa, lapor media tempatan, kelmarin.
Kematian itu termasuk 13 kanak-kanak di sebuah kampung terpencil Badhaal di kawasan Rajouri, Jammu sejak awal Disember lalu.
Kampung itu diisytiharkan sebagai zon berkurung awal minggu ini, dengan kira-kira 230 orang dikuarantin, lapor agensi berita Press Trust of India (PTI).
Pakar dari kolej perubatan Rajouri, berkata Amarjeet Singh Bhatia berkata, kesemua kematian mengalami kerosakan pada otak dan sistem saraf.
“Cuti persekolahan musim sejuk juga dibatalkan untuk menangani krisis amaran perubatan itu,” kata Bhatia seperti yang dilapor PTI.
Setakat ini, mangsa adalah ahli daripada tiga keluarga yang berkaitan.
Kerajaan Persekutuan telah melancarkan siasatan, dengan Menteri Kesihatan, Jitendra Singh mengatakan, siasatan awal menunjukkan kematian ‘bukan disebabkan oleh sebarang jangkitan, virus atau bakteria tetapi sebaliknya berpunca daripada toksin’.
“Terdapat toksin yang sedang diuji. Saya percaya penyelesaian akan ditemui tidak lama lagi.
Selain itu, kemungkinan sebarang perbuatan atau aktiviti jahat juga sedang disiasat,” kata Jitendra, yang dipetik PTI.
Dalam kes perubatan berasingan, pihak berkuasa di bandar barat Pune mengesan sekurang-kurangnya 73 kes gangguan saraf yang jarang berlaku.
Mereka dijangkiti Sindrom Guillain-Barre (GBS), membabitkan 26 wanita dengan 14 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), GBS adalah penyakit sistem imun yang menyerang saraf periferal.
Ia mampu menjejaskan saraf yang mengawal pergerakan otot dan boleh menyebabkan kelemahan otot, kehilangan rasa di kaki atau lengan dan mereka yang dijangkiti
berdepan masalah menelan dan bernafas. – AFP