NEW DELHI, 28 JUN – Para penyiasat sedang menyiasat kemungkinan serangan dron di salah sebuah pangkalan udara di wilayah utara negara itu yang bergolak, kata pegawai semalam.
Menurut pakar, serangan sedemikian mungkin yang pertama di negara yang luas itu dan menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan di kemudahan-kemudahan ketenteraan.
“Dua letupan intensiti rendah dilaporkan pada awal pagi kelmarin di kawasan teknikal Stesen Tentera Udara Jammu. Satu menyebabkan kerosakan kecil pada bumbung bangunan sementara yang satu lagi meletup di kawasan terbuka,” menurut catatan Twitter Tentera Udara India.
“Tidak ada kerosakan pada sebarang peralatan. Siasatan sedang dijalankan bersama dengan agensi awam.”
Ketua Pengarah Polis Jammu dan Kashmir, Dilbagh Singh, dalam satu kenyataan berkata, ‘dron yang membawa muatan’ disyaki telah digunakan untuk ‘meledakkan bahan letupan’.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai ‘serangan pengganasan’, dalam satu wawancara dengan Press Trust of India. Akhbar Indian Express melaporkan bahawa dua orang telah ditangkap setakat ini berhubung kejadian itu, sementara dua orang di pangkalan udara itu mengalami cedera ringan.
Satu pasukan dari pasukan bertindak antipengganas India, Agensi Penyiasatan Nasional, tiba di Jammu untuk menyiasat kejadian itu, kata seorang pegawai kepada AFP.
Leftenan Jeneral bersara DS Hooda, yang mengetuai Komandan Utara India hingga 2016, berkata sistem radar tentera negara itu boleh mengesan ancaman seperti pesawat dan kenderaan kawalan jauh yang lebih besar – namun mungkin tidak dapat mengesan dron.
“Kita perlu memantau kegiatan dron dengan serius dan mendapatkan sistem antidron secepat mungkin,” katanya.
Insiden dron semalam berlaku tiga hari selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengadakan pertemuan kali pertama dengan pemimpin Kashmir sejak status separa autonomi wilayah Jammu-Kashmir dibatalkan. – AFP