India uji dron hantar vaksin

BANGALORE, 22 JUN – Sebuah firma penerbangan telah melaksanakan ujian pertama penghantaran jarak jauh menggunakan dron di India, dengan harapan mereka boleh menghantar bekalan ubat dan vaksin COVID-19 ke kawasan pedalaman.

Penggunaan meluas dron bakal mengubah senario perkhidmatan perubatan di kawasan pedalaman di negara Asia Selatan itu, yang menyaksikan penjagaan kesihatan adalah terhad akibat keadaan jalan raya yang teruk, kata pakar.

Throttle Aerospace Systems (TAS) adalah antara 20 syarikat yang diberi permit oleh kerajaan India sejak Mei lalu untuk melaksanakan ujian penerbangan melepasi had 450 meter yang ditetapkan ketika ini.

Dua dron, satu daripadanya boleh membawa berat muatan sehingga satu kilogram (kg) sejauh 20 kilometer (km) atau hampir sejam, dan satu lagi boleh membawa muatan seberat 2kg sejauh 15km, telah diuji di Karnataka semalam.

“Ubat dibawa sejauh 2.5km dalam tempoh tujuh minit dan ia membawa bekalan perubatan ke lokasi ditetapkan sebelum dron itu kembali,” kata pengasas TAS, Sebastian Anto kepada AFP di lokasi ujian.

Sebelum ini, kerajaan India turut membuka bidaan untuk pengoperasi dron membantu melaksanakan projek perintis bagi menghantar bekalan perubatan, dalam usaha meningkatkan usaha imunisasi COVID-19.

Akhbar The Hindu minggu lalu melaporkan Ketua Epidemiologi Majlis Penyelidikan Perubatan India, Samiran Panda, berkata teknologi boleh membantu usaha imunisasi kumpulan keutamaan di kawasan pedalaman.

“Kita perlu melaksanakan vaksinasi pintar berbanding imunisasi besar-besaran untuk mengekang pandemik,” katanya memberitahu akhbar minggu lalu.

Di bawah peraturan semasa, dron perlu diterbangkan dalam pandangan menyeluruh atau dalam lingkungan 450 meter daripada operator mereka di lapangan. – AFP

Juruteknik menerbangkan dron milik TAS untuk menghantar bekalan ubat-ubatan semasa ujian penerbangan di Gauribidanur, kira-kira 80km dari Bangalore pada 21 Jun. – AFP