NEW DELHI, 13 NOV – India telah mengumumkan pelan bernilai AS$5 bilion bagi meningkatkan daya saing eksport ketika negara itu berdepan kesan tarif tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Washington telah mengaitkan isu peperangan dan keamanan dengan perdagangan, dengan mengenakan duti sebanyak 50 peratus terhadap New Delhi sebagai tindak balas terhadap pembelian berterusan minyak Rusia oleh India.
Perdana Menteri Narendra Modi dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan telah meluluskan satu ‘Misi Pemerkasaan Eksport (EPM)’ bagi ‘meningkatkan daya saing eksport.’
Program bernilai hampir AS$3 bilion itu akan berjalan sehingga tahun kewangan 2030-31, menggantikan beberapa skim lama dengan satu rangka kerja tunggal yang bertujuan membantu pengeluar kecil mendapat akses kepada pembiayaan perdagangan yang lebih murah serta memenuhi piawaian kualiti global.
“Sokongan keutamaan akan diberikan kepada sektor yang terjejas akibat peningkatan tarif global baru-baru ini,” menurut kenyataan Kementerian Perdagangan yang dikeluarkan lewat kelmarin.

“Misi ini direka bentuk untuk menangani cabaran struktur yang menghalang eksport India,” tambah kenyataan itu.
Menteri Maklumat, Ashwini Vaishnaw turut mengumumkan skim jaminan kredit eksport tambahan bernilai AS$2.3 bilion, dengan menyatakan bahawa ia diperlukan ‘dalam persekitaran global semasa… di mana dasar sesetengah negara memberikan kesan kepada negara lain.’
Langkah tersebut bertujuan meningkatkan eksport barangan berintensif tenaga kerja seperti tekstil, kulit, permata dan barang kemas, kejuruteraan serta produk marin, tambahnya.
Ekonomi India, yang kini kelima terbesar di dunia, mencatat pertumbuhan terpantas dalam tempoh lima suku tahun bagi tiga bulan berakhir 30 Jun, dipacu oleh perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi dan keyakinan pengguna yang meningkat. – AFP
