Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    India upah ‘penghalau monyet’ untuk sidang G20

    NEW DELHI, 31 OGOS – Pegawai India yang bersiap sedia untuk sidang kemuncak G20 minggu depan telah mengupah pasukan ‘penghalau monyet’ dan memasang patung-patung kertas untuk menghalau monyet daripada datang menyerbu dan memakan pameran bunga yang disediakan untuk pemimpin global.

    Majlis bandar raya New Delhi telah mengupah lebih 30 ‘monyet wallah’, atau ‘penghalau monyet’, yang akan meniru teriakan dan jeritan monyet lutung yang agresif – musuh semula jadi kera spesies rhesus yang lebih kecil yang mengakibatkan kemusnahan di kawasan rimbun ibu negara.

    “Kami tidak boleh mengeluarkan monyet daripada habitat semula jadi mereka, oleh itu kami telah mengerahkan sepasukan 30 hingga 40 lelaki yang dilatih untuk menakutkan monyet,” kata Satish Upadhyay, Naib Pengerusi Majlis Perbandaran New Delhi, kepada AFP kelmarin.

    “Kami akan menempatkan seorang lelaki, setiap seorang di hotel tempat perwakilan menginap dan di tempat-tempat di mana kehadiran monyet telah dilaporkan,” katanya.

    Walaupun dihormati oleh sebahagian besar penduduk negara yang majoritinya beragama Hindu, monyet adalah ancaman utama yang sering memusnahkan taman, pejabat dan bumbung kediaman selain turut menyerang orang ramai untuk mendapatkan makanan.

    Kawasan metropolitan Delhi menempatkan kira-kira 30 juta penduduk kini giat diperindahkan sejak India memegang jawatan Presiden G20, tahun lalu.

    Polis bersiap sedia untuk melakukan penutupan di sekitar ibu kota untuk sidang kemuncak pada 9 hingga 10 September ini.

    Kebanyakan jalan ditutup dan cuti diisytiharkan selain perniagaan turut ditutup.

    Namun kebimbangan bahawa kumpulan monyet mungkin menyerang di hadapan kereta yang membawa presiden dan perdana menteri dari Kumpulan 20 negara bermakna majlis itu beralih kepada jabatan hutan untuk mengemukakan rancangan mengatasi masalah yang dihadapi. – AFP

    Patung kertas seekor lutung digantung untuk menakutkan monyet di taman di New Delhi pada 30 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda