NEW DELHI, 31 Ogos – Perkhidmatan kereta api milik India iaitu Indian Railways, merupakan salah satu rangkaian kereta api terbesar di dunia, dijadualkan untuk beralih kepada bahan bakar bersih dengan menggunakan gas semula jadi berbanding minyak diesel, menurut seorang pegawai kanan, hari ini.
Indian Railways telah menandatangani pakatan bersama Pihak Berkuasa Gas India Berhad (GAIL) milik negara itu, semalam untuk menggunakan gas asli dalam beberapa operasinya sebagai permulaan.
“Indian Railways telah menggunakan kira-kira tiga billion liter minyak diesel pada setiap tahun.
“Menerusi pakatan hijau, syarikat itu akan menggunakan gas asli dalam beberapa operasinya dengan sasaran untuk mengurangkan tahap pelepasan,” tambah pegawai itu.
Sebagai tambahan, penggunaan gas asli akan mengurangkan kos bahan bakar.

“Menggunakan gas asli adalah kira-kira 25 peratus lebih murah berbanding bahan bakar alternatif yang digunakan oleh syarikat itu di bengkel dan unit penghasilan,” menurut pengerusi lembaga Indian Railways, Ashwani Lohani, kepada pemberita semalam.
Indian Railways melancarkan operasinya di seluruh negara dari utara ke selatan dengan mengendalikan kira-kira 9,000 penumpang kereta api dan mengangkut hampir 23 juta orang penumpang setiap hari.
Syarikat awam yang meluas itu boleh dirujuk sebagai separa-negara, di mana ia turut mengendalikan sekolah-sekolah, hospital dan memiliki pasukan polis sendiri termasuk syarikat pembinaan.
Syarikat itu turut menggaji kakitangan seramai 1.3 juta orang, menjadikannya majikan ketiga terbesar di dunia.
Pada 2015, kerajaan Perdana Menteri India Narendra Modi telah berjanji sebanyak AS$137 bilion bagi selama lima tahun untuk memodenkan dan mengembangkan rangkaian perkhidmatan itu. – Xinhua