Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Indiana Jones’ Thailand menyelam cari harta karun

    MELUTUT sebelum mengenakan topi keledar skuba buatan sendiri, Bhoomin Samang berdoa agar nasibnya baik hari itu sebelum dia mula menyelam melakukan tugasan hariannya, menelusuri lantai sungai Chao Phraya di Bangkok untuk mencari harta karun.

    Penyelam yang berusia 62 tahun itu merupakan sebahagian daripada komuniti kecil yang dikenali sebagai penyelam ‘Indiana Jones’ Thailand yang berani menelusuri lantai sungai yang dipenuhi dengan sampah hanya untuk mencari duit syiling, barang kemas dan logam.

    “Kami mencari duit syiling lama, kadang kala kami diupah untuk mencari objek yang hilang di sungai,” kata Bhoomin, seorang penyelam veteran yang telah bergiat aktif dalam aktiviti itu semenjak 30 tahun yang lalu.

    Kadangkala apa yang mereka temui sangat mengejutkan dan menyeramkan, di mana para penyelam pernah menjumpai tengkorak dan rangka manusia disepanjang menelusuri lantai sungai tersebut dalam kegelapan.

    “Jika anda takut kepada hantu, anda tidak boleh memasuki sungai kini kerana anda tidak akan dapat melihat apa-apa, tetapi kami sudah terbiasa dengan situasi ini,” jelasnya.

    Bhoomin dapat bernafas di dalam sungai itu disebabkan topi keledar buatan sendiri yang mempunyai keberatan sekitar 20 kilogram dan topi keledar ini disambungkan dengan tiub getah bagi menghubungkan topi keledar itu dengan tangki udara di atas perahu. – AFP

    Penyelam terlatih antarabangsa dan penyelam SEAL Tentera Laut Thailand baru-baru ini berada di tengah-tengah perhatian global setelah berusaha untuk menyelamatkan 12 budak lelaki dan jurulatih mereka dari sebuah gua air di Utara Thailand.

    Tetapi penyelam ‘Indiana Jones’ ini menggunakan lebih banyak peralatan-peralatan sementara dan beroperasi di bawah radar di tengah-tengah metropolis bandar Bangkok.

    Dengan memakai seluar pendek dan berbaju T, Bhoomin terjun dari perahunya dan menyelam di sebuah sungai yang penuh dengan kotoran dan sisa-sisa sampah dari kawasan bandar Bangkok.

    Dia dapat bernafas di dalam sungai itu disebabkan topi keledar buatan sendiri yang mempunyai keberatan sekitar 20 kilogram dan topi keledar ini disambungkan dengan tiub getah bagi menghubungkan topi keledar itu dengan tangki udara di atas perahu.

    Tangki terus mempam oksigen ke dalam topi keledar itu bagi mengelakkan dimasuki air, membolehkan penyelam yang berpengalaman untuk turun sehingga 30 meter di bawah permukaan sungai.

    Selepas 15 minit di bawah air, Bhoomin naik semula ke permukaan air dan dipenuhi dengan lumpur-lumpur hitam.

    Dia kemudiannya menunjukkan beberapa kepingan logam, tembaga dan koin peluru yang berusia 200 tahun yang mempunyai gambar raja-raja Thailand abad ke-19, Raja Rama IV dan V malah para penyelam sering menemui artifak ini dan sudah terbiasa menemuinya di sungai keruh itu.

    Duit syiling itu mengimbau kembali sejarah bandar itu yang meriah dengan aktiviti perniagaan dan rumah-rumah tradisional di atas air masih berdiri namun semakin terhakis disebabkan oleh pembangunan Bangkok yang semakin membangun.

    “Pada zaman dahulu, kami hidup di rakit dan mempunyai pasar terapung. Penduduk kampung telah kehilangan perhiasan dan wang mereka di sungai,” katanya. Patung Buddha kecil yang belum siap juga tersembunyi di atas lantai sungai keruh ini.

    Penyelam yang berusia 62 tahun itu merupakan sebahagian daripada komuniti kecil yang dikenali sebagai penyelam ‘Indiana Jones’ Thailand yang berani. – AFP

    Air keruh yang dalam

    Para penyelam menukar barang-barang mereka dan memperoleh keuntungan yang tinggi. Syiling kuprum yang dijual boleh mencecah sekitar 500 baht (AS$15) iaitu hampir dua kali ganda gaji minimum harian Thailand.

    Jika bernasib baik, sekeping perhiasan atau duit syiling lama dan jarang sekali ditemui serta masih dalam keadaan yang baik, boleh mencecah sehingga AS$300 di pasaran antik Bangkok.

    Tetapi nasib penyelam berada dalam ancaman berikutan pembangunan bandar sekali gus mengancam kehidupan masyarakat dan sungai mereka.

    Pegawai Bangkok telah mengarahkan penduduk di sungai itu untuk berpindah sebagai sebahagian daripada perancangan gentrifikasi kerajaan junta untuk kawasan bandar.

    Para penyelam berasa bimbang dan khuatir jika mereka tidak dibenarkan lagi memasuki sungai tersebut dan boleh menyebabkan sekitar 90 peratus sumber mata pencarian mereka akan hilang.

    Salah satu undang-undang yang memberi ketegangan kepada penyelam ialah undang-undang yang telah melarang pengambilan barang-barang artifak dan boleh dihukum denda serta dipenjarakan.

    Bhoomin, bagaimanapun, cuba mempertahankan perniagaannya itu, mengatakan bahawa penyelam hanya akan mengambil barangan-barangan kecil.

    “Kami tidak akan mengambil artifak besar seperti patung Buddha (jika pegawai betul-betul inginkan sesuatu), mereka boleh pergi ke situ dan mengambilnya,” kata Bhoomin.

    Namun apa yang pasti, keunikan sesuatu artifak yang istimewa sentiasa berada di sekeliling sungai ini.

    “Kami tidak tahu apa yang akan kami temui dan di mana kami akan pergi pada hari ini,” kata Somsak Ongsaard, berusia 29 tahun, seorang penyelam yang lain. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda