NEW JERSEY, 4 MEI – Seorang individu lagi telah didakwa berhubung kebakaran hutan di kawasan Pine Barrens, New Jersey, yang kini menjadi kebakaran kedua terbesar di negeri itu dalam tempoh hampir dua dekad.
Pihak pendakwa raya pada Jumaat berkata seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah ditahan dan didakwa atas kesalahan membakar hutan, membakar secara berat serta menghalang proses tangkapan. Nama remaja tersebut tidak didedahkan kerana dia masih di bawah umur.
Menurut Perkhidmatan Bomba Hutan negeri, kebakaran yang telah berlangsung selama hampir dua minggu itu kini berjaya dikawal sebanyak 80 peratus.
Kebakaran di daerah Ocean, selatan New Jersey itu telah merebak meliputi kawasan seluas 62 kilometer persegi. Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
Seorang lelaki berusia 19 tahun dari Waretown, Joseph Kling, telah didakwa minggu lalu kerana membakar hutan. Pihak pendakwa mendakwa Kling telah membakar palet kayu dan meninggalkan lokasi kejadian.
Pada Jumaat, pihak pendakwa turut memaklumkan Kling bersama beberapa individu lain mengambil palet dari sebuah pusat kitar semula, memandu ke kawasan hutan tebal dan menggunakan petrol untuk memulakan kebakaran.
Peguam Kling dalam perbicaraan reman berkata anak guamnya tidak berniat untuk menyebabkan kebakaran besar atau memusnahkan sebarang harta benda. – AP
