Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Individu ketiga dijangkiti H5N1 di AS

    WASHINGTON, 31 MEI – Pegawai Amerika Syarikat (AS) kelmarin melaporkan kes manusia ketiga selesema burung di negara itu dikaitkan dengan wabak virus semasa dalam lembu tenusu.

    Pekerja ladang Michigan itu adalah individu kedua yang dijangkiti penyakit itu di negeri Midwestern, berikutan kes pertama di Texas pada April.

    Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berkata dalam satu kenyataan bahawa ketiga-tiga kes itu tersebar daripada lembu kepada manusia, berbanding manusia ke manusia, yang lebih membimbangkan.

    Menurutnya, ia adalah kes pertama ‘yang melaporkan lebih banyak gejala tipikal penyakit pernafasan akut yang dikaitkan dengan jangkitan virus influenza,’ manakala kes sebelumnya mengakibatkan gejala ringan termasuk konjunktivitis.

    Gejala yang dialami manusia termasuk batuk tanpa demam, ketidakselesaan mata dan keluarnya air mata berlebihan. Mereka dirawat dengan ubat antivirus oseltamivir dan diasingkan di rumah, dengan gejala mereka semakin berkurangan.

    Pekerja itu tidak memakai peralatan pelindungan diri, yang disyorkan pihak berkuasa kesihatan untuk mereka yang berhubung rapat dengan kumpulan haiwan tenusu, kata jabatan kesihatan Michigan.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, virus selesema burung yang sangat patogenik dipanggil HPAI H5N1 telah merebak dan menjangkiti lebih daripada 50 spesies haiwan, termasuklembu tenusu di Amerika Syarikat sejak Mac.

    Tidak seperti di Eropah, petani Amerika dibenarkan memberi makan lembu dengan sisa ayam yang dikisar, yang sesetengah saintis berkata mungkin menjadi faktor risiko selesema burung walaupun industri makanan ternakan telah membantah dakwaan ini dan pihak berkuasa AS percaya burung liar bertanggungjawab menjangkiti lembu.

    “Risiko yang timbul kepada orang awam yang tidak terdedah kepada haiwan yang dijangkiti kekal rendah,” kata CDC. – AFP

    Gambar fail menunjukkan lembu di sebuah ladang dekat Vado. Seorang lagi pekerja tenusu didiagnos dengan selesema burung. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda