Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Individu menyamar pakar patologi di TikTok dikenalpasti

    PUTRAJAYA, 19 OGOS – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti individu di sebalik akaun TikTok, ‘Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar’ yang didapati menyamar sebagai pakar patologi, serta mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

    MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan suspek tersebut bukan seorang pakar patologi.

    “Individu berkenaan dikesan berdekatan kawasan Kota Damansara lewat malam tadi hasil maklumat daripada keterangan dua individu yang turut berada dalam sesi TikTok Live akaun tersebut.

    “Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk rakaman keterangan, manakala peralatan komunikasinya turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

    MCMC dalam kenyataan itu memaklumkan penyebaran maklumat palsu, khususnya membabitkan isu sensitif seperti kematian, tragedi atau mangsa nahas, merupakan satu kesalahan serius yang boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.

    Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan siasatan tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan. – Bernama

    Individu menyamar pakar patologi di TikTok dikenal pasti. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda