Monday, October 14, 2024
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Individu mohon maaf sebar fitnah babitkan Rosyam Nor

    Seorang individu tampil membuat permohonan maaf selepas pelakon dan pengarah Datuk Rosyam Norman membuat laporan polis berhubung fitnah di media sosial membabitkan namanya.

    Rosyam atau Rosyam atau Mohamed Nor Shamsuddin, 57, bagaimanapun masih belum membuat keputusan sama ada meneruskan tindakan saman terhadap individu tersebut atau sebaliknya.

    “Ada seorang dari Kedah, dia hubungi saya minta maaf. Tindakan lanjut saya kena bincang dengan peguam. Setakat ini saya tak tahu lagi. Tak adil kalau dia minta maaf lepas itu dibiarkan dan lain dikenakan tindakan. Buat masa sekarang saya masih marah. Saya tak tahu apa tindakan seterusnya bersama peguam,” katanya.

    Rosyam ditemui ketika sidang media program Famili Duo musim keempat (FD4) yang berlangsung di Kuala Lumpur kelmarin.

    Pada Khamis lalu Rosyam membuat laporan polis selepas beberapa individu mengeluarkan kenyataan kononnya dia campur tangan dalam urusan rumah tangga pelakon Fattah Amin dan Fazura. Dia juga turut menyenaraikan beberapa pengendali laman sosial yang mengaitkan namanya dalam isu berkenaan.

    Tidak mahu terus berdiam, bagi Rosyam dia perlu mempertahankan diri sekali gus membersihkan namanya.

    “Saya ini terlibat dengan syarikat besar, saya juga ada keluarga. Semuanya terjejas dan terpalit. Ramai yang bertanya saya tentang isu itu sedangkan saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan. Saya tak masuk campur urusan orang lain. Sebab itu saya buat laporan polis dan mahu ambil tindakan undang-undang,” ujarnya.

    Sementara itu bercakap tentang penglibatan sebagai juri FD4, Rosyam mengharapkan dapat berkongsi pengalaman walaupun dia bukan daripada bidang nyanyian.

    “Saya memang bukan penyanyi. Tapi saya tahu menilai orang menyanyi. Program ini juga menyerlahkan persembahan pentas dan itu tugas saya untuk menilai,” jelasnya. – Agensi

    Rosyam berkongsi perkara itu ketika sidang media program Famili Duo musim keempat (FD4). – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda