Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun hari ini telah menafikan lima pertuduhan di Mahkamah Perantaraan, kerana secara eksplisit mendedahkan dirinya kepada kanak-kanak di bawah jagaannya.
Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail menetapkan perbicaraan dijalankan dari 3 hingga 11 Mei depan dan memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman.
Timbalan Pendakwa Raya Fitri Kiprawi dalam pertuduhannya mendakwa bahawa tertuduh telah melakukan penganiayaan seksual terhadap dua orang kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan, ketika mana dia selaku penjaga kepada mangsa, dengan mendedahkan dirinya kepada mereka dan membuat isyarat seksual pada lima kejadian yang berasingan pada 2019 dan 2020 di sebuah rumah dan di dalam kereta.