Individu pendek lebih berisiko hidap diabetes

PARIS, 11 SEPT – Individu pendek adalah lebih berisiko menghidap diabetes jenis 2, menurut satu kajian yang disiarkan semalam.

Setiap pertambahan ketinggian sebanyak 10 sentimeter bermakna peluang menghidap penyakit itu berkurangan 41 peratus dalam kalangan lelaki dan 33 peratus untuk wanita, menurut kajian tersebut.

Hasil kajian itu disiarkan dalam jurnal perubatan, Diabetologia. Risiko lebih tinggi dalam kalangan individu pendek menghidap diabetes itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kandungan lemak lebih tinggi di dalam hati, kata pasukan saintis yang melakukan kajian itu.

Saintis turut melaporkan individu tinggi memiliki sensitiviti insulin manakala sel khas yang merembes hormon dalam pankreas mereka juga berfungsi dengan lebih baik.

Kajian tersebut dibuat berdasarkan pemantauan perubatan ke atas lebih 16,600 wanita dan hampir 11,000 lelaki berusia antara 40 hingga 65 tahun di Potsdam, Jerman dari tahun 1994 hingga 1998.

“Kajian ini mendapati ketinggian merupakan penanda yang berguna dalam meramal risiko diabetes,” kata pasukan saintis itu. – AFP