Oleh Daniel Lim
Gambar serahan Bahagian Penguatkuasaan JBKBS
BELAIT, 7 JULAI – Seorang lelaki warga asing dan sebuah syarikat masing-masing didenda $200 dan $1,000 oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS), kelmarin, kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 2021 Penggal 30.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JBKBS, warga asing berkenaan, Muhammad Nur telah didapati membuang puntung rokok di tempat awam manakala itu, Meera Sdn Bhd di Jalan Bunga Kenangan, Seria didapati membuang air bercampur cat selain menyalurkan air basuhan dari sinki terus ke dalam longkang.
Syarikat dan individu tersebut telah diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun berkenaan dan jika didapati gagal boleh didakwa di mahkamah.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Untuk sebarang aduan mengenai pembuangan sampah di tempat-tempat awam di kawasan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JBKBS di talian 3330789 atau 3330780 sambungan 215.

Ikuti berita lanjut dalam Edisi Sabtu/Ahad (Media Permata)

