Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia aktif promosi EV

    JAKARTA, 14 OGOS – Kementerian Pengangkutan Indonesia kini giat mempromosi peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) dalam usaha untuk meningkatkan kualiti udara, terutama di kawasan bandar raya seperti Jakarta.

    Menterinya, Budi Karya Sumadi berkata kenderaan yang dikuasakan oleh bahan api fosil menyumbang kepada lebih 50 peratus pencemaran udara.

    “Apabila orang ramai kembali kepada rutin biasa mereka selepas pandemik COVID, tahap pencemaran udara di Jakarta telah meningkat,” katanya pada kempen Fun Ride kelmarin.

    Kempen anjuran Persatuan Industri Motosikal Elektrik Indonesia itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan elektrik.

    Berdasarkan data yang dikeluarkan Rabu lalu oleh IQAir, sebuah firma Switzerland yang pakar dalam teknologi kualiti udara, Jakarta dikenal pasti sebagai bandar paling tercemar di dunia.

    Menurut Budi, kerajaan sedang mempercepat pertumbuhan sektor motosikal elektrik, termasuk pembangunan EV baharu dan mengubah suai kenderaan sedia ada. Malah, kementerian itu telah memperkenal Peraturan No. PM 39 Tahun 2023, yang menetapkan garis panduan penukaran motosikal enjin pembakaran dalaman kepada elektrik berkuasa bateri.

    Sehingga 10 Ogos, terdapat sejumlah 183 motosikal elektrik yang diubah suai dan 59,388 motosikal elektrik baharu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda