JAKARTA, 31 Jan – Indonesia menganggap tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melarang rakyat dari tujuh negara Islam memasuki negara itu sebagai satu pelanggaran hak asasi manusia.
Media-media dalam talian tempatan hari ini memetik Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Fahri Hamzah sebagai berkata tindakan itu jelas menunjukkan kegelisahan Trump terhadap umat Islam.
Katanya, dalam piagam antarabangsa telah termaktub mengenai kebebasan imigresen dan larangan memasuki negara itu tidak wajar jika dikaitkan dengan kepercayaan agama.
Beliau berkata arahan baharu Trump itu membuktikan tahap pemikiran Amerika Syarikat kini telah menurun dan negara berkenaan tidak lagi boleh dijadikan sebagai rujukan sebuah negara yang benar-benar mengamalkan sistem demokrasi, hak asasi manusia dan pasaran ekonomi. Trump pada Jumaat lepas dilaporkan mengeluarkan larangan pengeluaran visa terhadap tujuh negara Islam iaitu Iraq, Iran, Syria, Libya, Yaman, Sudan dan Somalia.
Semalam Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dipetik oleh media tempatan sebagai berkata negara itu sangat kesal dengan arahan imigresen di bawah pentadbiran Trump.
Katanya, walaupun ia adalah sesuatu yang tidak wajar namun Indonesia tetap menghormati peraturan dan undang-undang sesebuah negara dan meminta rakyatnya di Amerika Syarikat supaya tenang dan tidak gelisah kerana arahan itu tidak melibatkan Indonesia.
Indonesia adalah negara paling ramai umat Islam di dunia dengan lebih 80 peratus daripada hampir 300 juta rakyatnya beragama Islam. – Bernama