Monday, February 3, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia anjur mesyuarat global mengenai agama, pembangunan mampan

    JAKARTA, 2 FEB – Indonesia bakal menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Kepimpinan Perkongsian Antarabangsa mengenai Agama dan Pembangunan Mampan (PaRD) di Jakarta dari 3 hingga 6 Februari, menurut Kementerian Hal Ehwal Agama, lapor agensi berita Indonesia (Antara).

    Bercakap di Jakarta hari ini, Pengarah Penerangan Agama Islam kementerian itu, Ahmad Zayadi, berkata Indonesia melihat mesyuarat berkenaan sebagai detik penting untuk melaksanakan diplomasi agama di peringkat global.

    “Indonesia mengamalkan pendekatan inklusif dan toleran terhadap kepelbagaian. Dengan menyertai PaRD, negara ini berusaha memastikan agama memainkan peranan strategik dalam menyokong pembangunan mampan dan dialog antara agama di peringkat global,” katanya.

    Ahmad menjelaskan yang penglibatan Indonesia dalam perkongsian itu mencerminkan tekad republik itu untuk mempromosikan kesederhanaan beragama dan keharmonian antara agama.

    Beliau turut mengulas sejarah penyertaan Indonesia dalam PaRD apabila negara itu menyertai forum berkenaan pada Disember 2022 dan menjadi wakil pertama dari Selatan Global. Indonesia kemudiannya dipilih sebagai ahli lembaga pengarah PaRD pada Ogos 2023.

    PaRD berfungsi sebagai forum yang menghimpunkan institusi kerajaan, organisasi pelbagai hala, organisasi keagamaan dan ahli akademik bagi membincangkan serta melaksanakan peranan agama dalam pembangunan mampan.

    Sebagai ahli lembaga pengarah, Indonesia turut bertanggungjawab dalam menentukan dan mengurus hala tuju dasar, belanjawan serta program forum tersebut. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda