Wednesday, April 2, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia arahkan oksigen dihantar ke hospital

    JAKARTA, 5 JULAI – Indonesia hari ini menyeru pembekal oksigen negara itu menghantar bekalan ke hospital-hospital yang dibanjiri dengan pesakit koronavirus ketika kes-kes jangkitan dan kematian mencecah rekod baharu.

    Pengeluar oksigen diberitahu untuk memperuntukkan stok mereka kepada sektor perubatan ketika negara itu dibebani dengan gelombang jangkitan tak dijangka yang dipacu oleh varian mudah menular, Delta, kata menteri kanan, Luhut Binsar Pandjaitan.

    “Kita ada cukup bekalan oksigen, namun permintaan adalah tiga sehingga empat kali ganda, maka terdapat kesesakan pengagihan,” katanya.

    “Terdapat bekalan daripada lima pengeluar oksigen dan kami sudah meminta mereka memperuntukkan 100 peratus oksigen mereka kepada sektor kesihatan,” tambahnya.

    Negara Asia Tenggara paling teruk dilanda COVID-19 itu mungkin terpaksa mengimport oksigen jika bekalan kehabisan, katanya.

    Selain daripada hospital, industri keluli dan perlombongan adalah pembeli utama bekalan oksigen di Indonesia yang kaya mineral itu.

    Sebuah stesen pengisian semula kecemasan ditubuhkan di pusat bandar Jakarta manakala pemandu beca di bandar Bandung menghantar tangki-tangki oksigen ke rumah-rumah di mana pesakit virus diasingkan.

    Hari ini, negara itu melaporkan 29,754 kes dan 558 kematian, kedua-duanya rekod terbaharu selepas kerajaan minggu lalu mengarahkan sekatan terbaharu virus di ibu negara, Jakarta, di seluruh Jawa dan bandar peranginan, Bali. – AFP

    Petugas kesihatan menyorong tangki oksigen di Hospital Pusat Dr Sardjito di Yongyakarta, Indonesia kelmarin. Indonesia mengarahkan pembekal oksigen menghantar bekalan oksigen mereka ke hospital bagi menangani kes-kes koronavirus. –AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda