JAKARTA, 7 JULAI – Persatuan kilang tepung Indonesia akan menandatangani perjanjian untuk mengimport sekurang-kurangnya satu juta metrik tan gandum dari Amerika Syarikat (AS) setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang dalam perjanjian bernilai AS$1.25 bilion, menurut kenyataan kepada AFP hari ini, ketika Jakarta merangka langkah bagi mengelak kesan paling buruk daripada tarif dikenakan Donald Trump.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, memberitahu AFP minggu lalu bahawa Jakarta akan meningkatkan import hasil pertanian dari AS bagi mengelakkan kadar tarif lebih tinggi yang menurut Washington akan mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos sekiranya tiada perjanjian baharu dicapai.
“Kami sudah ada perjanjian antara US Wheat Associates dan Aptindo untuk membeli satu juta metrik tan bagi tahun 2026 hingga 2030,” kata Ketua Persatuan Kilang Tepung Indonesia (Aptindo), Franciscus Welirang, hari ini, merujuk kepada organisasi pembangunan pasaran eksport.
Perjanjian itu, yang dianggarkan bernilai AS$250 juta setahun, akan ditandatangani di Jakarta pada hari ini, katanya.
“Dalam konteks rundingan tarif Indonesia, kami sebagai perniagaan swasta bersama rakan perniagaan swasta Amerika, US Wheat Associates, bersetuju untuk memeterai perjanjian,” katanya.
Trump kelmarin berkata dia akan memaklumkan kadar tarif baharu kepada beberapa negara minggu ini, dengan memberi amaran bahawa kadar tarif import AS akan kembali ke paras tinggi yang diumumkannya pada April sebelum penangguhan 90 hari dilaksanakan. – AFP
