Pelakon Anna Jobling terpaksa menangguhkan jadual perjalanan ke Indonesia berikutan kekecohan yang sedang berlaku di negara tersebut.
Menurut laporan mStar, Anna atau Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, tayangan perdana filem lakonannya berjudul Sukma yang dijadualkan berlangsung di Jakarta juga terpaksa ditunda.
“Saya sepatutnya terbang ke Indonesia untuk majlis tayangan perdana filem Sukma tapi ditunda sebab kita tengok laporan berita sekarang ini kurang selamat untuk ke sana”.
“Malah untuk kita buat majlis tayangan dalam keadaan sebegitu, saya rasa sangat tak sesuai. Jadi kami putuskan untuk tunda,” katanya kepada mStar.
Anna berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan drama Setia Itu Mahal episod ke-27 di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya pada Selasa.
Dalam masa sama, Anna berharap kemelut politik di Indonesia segera reda selain mendoakan keselamatan rakyat di sana.
“Semoga Indonesia cepat sembuh. Doa saya sentiasa bersama rakyat Indonesia. Jakarta adalah rumah kedua saya, jadi bila tengok keadaan sebegitu, rasa sangat sedih”.
“Saya ke sana, hampir setiap bulan. Kali terakhir ke sana sebelum situasi ini semua berlaku,” ujarnya.
Anna turut berbangga apabila melihat rakyat Malaysia, Thailand dan Singapura bersama menzahirkan keprihatinan terhadap apa yang berlaku di negara jiran itu.
Beliau sangat berbangga dan terharu bila melihat ramai yang menolong dan berkongsi rasa kasih sayang dengan rakyat di sana.
“Bukan kita saja tapi rakyat di Thailand dan Singapura juga. Bila perkara sebegini terjadi, kita boleh nampak semangat menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anna turut meluahkan rasa puas hati apabila drama lakonannya, Setia Itu Mahal arahan Jamal Khan mendapat sambutan luar biasa.
Menurut Anna, dia gembira dengan penerimaan penonton terhadap wataknya sebagai Dalina Rizwani dalam drama 28 episod tersebut. – Agensi

