JAKARTA, 19 MEI – Indonesia kini berdepan ledakan kelahiran yang mungkin melihat lebih daripada 400,000 kehamilan tidak dirancang tatkala perintah berkurung koronavirus memutuskan akses untuk mendapatkan pil perancang, kata agensi perancang keluarga negara hari ini.
Klinik-klinik kesihatan kecil ditutup sementara doktor dan bidan mengehadkan jumlah pesakit sejak negara Asia Tenggara itu melaksanakan perintah berkurung separa pada bulan lalu untuk mengekang penularan COVID-19.
Ia telah menjadikannya sukar untuk penduduk Indonesia mendapatkan akses kepada kawalan kelahiran, menurut agensi.
“Terdapat ramai orang yang memilih mematuhi arahan kerajaan untuk tinggal di rumah melainkan terdapatnya kecemasan,” beritahu Hasto Wardoyo, ketua lembaga populasi negara dan perancang keluarga Indonesia (BKKBN) kepada AFP.
“Saya fikir ramai orang tidak melihat pencegahan hamil sebagai satu kecemasan,” tambah beliau.
Pada awal tahun depan, Indonesia, negara yang mempunyai jumlah penduduk keempat paling ramai di dunia, mungkin melihat 420,000 anak damit tambahan dilahirkan berbanding yang dijangkakan, ramal agensi.
Angka tersebut adalah berdasarkan 10 peratus daripada 28 juta ahli perancang keluarga di seluruh negara yang mempunyai masalah mendapatkan kawalan kelahiran. Kira-kira 4.8 juta anak damit dilahirkan setiap tahun di Indonesia, sebuah negara yang mempunyai lebih 260 juta penduduk.
Peningkatan tersebut mungkin memburukkan lagi masalah kanak-kanak yang terbantut pembesaran serta kematian ibu dan anak damit yang tinggi, kata kerajaan. – AFP