JAKARTA, 1 OKT – Indonesia dijangka melancarkan kereta api berkelajuan tinggi pertama di Asia Tenggara pada Isnin, projek berbilion dolar dibiayai China yang akan mengurangkan perjalanan antara ibu negara Jakarta dan bandar utama lain dalam beberapa jam.
Kereta api berkelajuan tinggi buatan China bernama ‘Whoosh’ itu dibina untuk membawa lebih 600 orang ulang-alik dari Jakarta dan bandar Bandung di Jawa dalam masa 45 minit dan merupakan sebahagian daripada inisiatif infrastruktur Jalur dan Laluan China.
Presiden Joko Widodo telah memuji projek itu sebagai perjalanan pantas yang akan disediakan antara dua bandar di pulau Jawa yang mempunyai paling ramai penduduk Indonesia, dan beliau akan merasmikannya esok, menurut laporan media tempatan, memetik pegawai.
“Kami akan melancarkannya pada 2 Oktober, kerana pada 1 Oktober, presiden sibuk,” beritahu Menteri Pengangkutan, Budi Karya Sumadi kepada pemberita pada Jumaat.
Kereta api itu boleh mencapai kelajuan sehingga 350 kilometer sejam dan telah menelan kos usaha sama China-Indonesia bernilai lebih daripada AS$7 bilion untuk dibina.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/10/P14-Lead-Indonesia_02102023.jpg)
Ia dibina oleh PT KCIC, yang terdiri daripada empat syarikat Indonesia dan China Railway International Co.
Ia dijangka berharga kurang daripada AS$5 bilion dan dibina pada 2019 tetapi penangguhan disebabkan isu pembinaan dan wabak COVID-19 menyaksikan kosnya meningkat.
Pihak berkuasa telah menjalankan ujian awam bagi perjalanan berkelajuan tinggi baharu sejauh 142 kilometer sebelum pembukaannya.
Perdana Menteri China, Li Qiang menaiki kereta api itu bersama Menteri Kanan Indonesia, Luhut Pandjaitan semasa lawatannya ke Jakarta bulan ini untuk beberapa siri sidang kemuncak dengan pemimpin Asia Tenggara.
Pandjaitan memberitahu pemberita pada Khamis Widodo merancang untuk mengalu-alukan Presiden China, Xi Jinping pada masa depan untuk menaiki kereta api itu, tanpa memberikan butiran lanjut. – AFP