JAKARTA, 10 MEI – Polis Indonesia menahan seorang warga Iran yang menyeludup 264.72 kilogram (kg) cecair methamphetamine untuk diedarkan di kepulauan itu, lapor Xinhua memetik media tempatan hari ini.
Suspek yang dalam perjalanan 21 hari ke Indonesia, ditangkap di atas bot di perairan Banten ketika dalam transit Selasa lepas, kata Rusdi Hartono, Ketua Inspektor Polis Daerah Jambi. “Meth cair itu dicampur dengan petrol untuk menipu pegawai,” menurut Hartono hari ini.
Hasil ujian makmal, cecair methamphetamine yang disimpan dalam lima bekas cecair itu mengandungi amfetamin yang boleh diproses menjadi lebih 750kg methamphetamine kristal.
Polis menjalankan siasatan sejak November 2022 selepas menerima maklumat bahawa methamphetamine dihantar dari Iran ke Indonesia, dengan Provinsi Jambi sebagai antara destinasinya.
Maklumat menunjukkan penghantaran akan dilakukan di sekitar perairan Banten dan polis telah mengerahkan anggota berkawal di sekitar pantai. – Bernama