WASHINGTON, 23 JULAI – Perjanjian tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia dijangka melonggarkan sekatan eksport mineral kritikal dari negara Asia Tenggara itu ke AS, menurut Rumah Putih kelmarin, sementara Presiden AS, Donald Trump menyifatkannya sebagai ‘kemenangan besar’ untuk syarikat-syarikat.
Perjanjian yang diumumkan buat pertama kali minggu lalu itu telah menurunkan tarif AS yang diancam ke atas produk Indonesia daripada 32 peratus kepada 19 peratus.
Namun, barangan yang disyaki dihantar melalui negara ketiga untuk mengelak tarif lebih tinggi akan dikenakan tarif sebanyak 40 peratus, menurut seorang pegawai AS kepada wartawan kelmarin.
“Telah dipersetujui bahawa Indonesia akan menjadi pasaran terbuka kepada produk perindustrian dan teknologi Amerika, serta barangan pertanian, dengan menghapuskan 99 peratus sekatan tarif mereka,” kata Trump di platform Truth Social miliknya.
Trump turut menambah Indonesia akan membekalkan AS dengan mineral kritikal berharga mereka dan akan menandatangani perjanjian untuk membeli pesawat Boeing serta produk pertanian dan tenaga dari AS.

Indonesia merupakan pengeluar utama mineral seperti tembaga, kobalt dan nikel.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan secara berasingan oleh Rumah Putih menyebut selain kadar tarif 19 peratus ke atas produk Indonesia, sesetengah komoditi yang tidak terdapat di AS juga mungkin layak dikenakan tarif yang lebih rendah.
“Indonesia akan menghapuskan sekatan eksport ke AS bagi komoditi perindustrian, termasuk mineral kritikal,” menurut kenyataan itu lagi.
Sementara itu, menurut pegawai AS yang enggan dinamakan, Indonesia juga akan membatalkan usahanya untuk mengenakan cukai ke atas aliran data. Pegawai itu menyifatkan langkah cukai tersebut sebagai ‘cubaan meraih hasil’ daripada syarikat-syarikat AS.
Negara itu juga akan memansuhkan keperluan pemeriksaan atau pengesahan penghantaran awal ke atas barangan import dari AS dan telah bersetuju menerima piawaian keselamatan kenderaan bermotor persekutuan AS.
Kedua-dua negara dijangka memuktamadkan perjanjian tersebut dalam beberapa minggu akan datang, menurut kenyataan bersama berkenaan.
Indonesia merupakan antara negara pertama yang menyertai siri perjanjian perdagangan yang diumumkan pentadbiran Trump dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menjelang tarikh akhir pada 1 Ogos yang menyaksikan pelaksanaan tarif lebih tinggi ke atas puluhan ekonomi lain.
Washington telah mengenakan tarif 10 peratus ke atas kebanyakan rakan dagang pada April lalu dan menaikkan tarif ke atas puluhan negara sebelum menangguhkannya sebanyak dua kali. – AFP