JAKARTA, 28 FEB – Indonesia membawa pulang 84 warganya yang terperangkap dengan sindiket penipuan dalam talian di Myanmar, menurut Kementerian Luar republik itu yang mengesahkan hari ini.
Kumpulan itu yang terdiri daripada 69 lelaki dan 15 wanita, termasuk tiga wanita hamil dibawa keluar dari Myawaddy ke Mae Sot, Thailand, kelmarin.
“Semua dalam keadaan sihat,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu akan dibawa ke Bangkok sebelum terbang ke Jakarta, yang mereka dijangka tiba malam ini.
Sebaik tiba, mereka akan menjalani penilaian lanjut, termasuk pemulihan sosial, sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing.
Terdahulu, pihak berkuasa Thailand membenarkan rakyat Indonesia itu menyeberang melalui Jambatan Persahabatan Kedua di sempadan Myawaddy-Mae Sot dan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan, prosedur imigresen serta saringan bagi mengenal pasti unsur pemerdagangan manusia.
Gabenor Wilayah Tak Chuchip Pongchai hadir untuk memantau proses itu, menurut kementerian berkenaan.
Pasukan kementerian itu, bersama-sama pegawai daripada kedutaan Indonesia di Yangon dan Bangkok, berada di Mae Sot sejak 23 Februari dan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Thailand dan Myanmar untuk usaha pembebasan mangsa. – Bernama
