Wednesday, October 23, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia beri jaminan keselamatan pasukan kebangsaan Bahrain

    JAKARTA, 22 OKT – Menteri Belia dan Sukan Indonesia Dito Ariotedjo memberi jaminan terhadap keselamatan pasukan bola sepak kebangsaan Bahrain jika mereka beraksi menentang Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.

    “Oleh itu, jika ada kenyataan bahawa Bahrain tidak selamat di Indonesia, kami memastikan tiada potensi ancaman keselamatan yang boleh membahayakan pasukan Bahrain,” tegas Ariotedjo di Istana Presiden, kelmarin.

    Beliau menegaskan bahawa pasukan Bahrain tidak sepatutnya menolak untuk bermain di Indonesia, lapor agensi berita ANTARA.

    “FIFA telah menyatakan bahawa perlawanan itu masih akan diadakan di Indonesia. Ia mesti diadakan di Indonesia. Jika (mereka) tidak datang, ini bermaksud (pasukan Indonesia) menang secara WO (walkover),” katanya.

    Persatuan Bolasepak Bahrain sebelum ini mencadangkan agar venue perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Indonesia, yang dijadualkan pada Mac 2025 di Indonesia dipindahkan ke negara lain.

    Permintaan itu dibuat berdasarkan kebimbangan mengenai keselamatan pasukan Bahrain selepas mereka menerima kritikan susulan keputusan seri 2-2 menentang Indonesia yang dianggap kontroversi pada 10 Oktober 2024. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda