JAKARTA, 29 APRIL – Skuad antipengganas pasukan polis Indonesia, Densus 88 telah memberkas 52 suspek pengganas berkaitan dengan pengeboman nekad di gereja katedral Makassar di Sulawesi Selatan, menurut satu sumber rasmi hari ini.
Jurucakap polis Sulawesi Selatan, Pesuruhjaya Kanan E Zulpan, berkata pengganas disyaki terdiri daripada tujuh wanita dan 45 lelaki. “Kebanyakan suspek pengganas diberkas di Sulawesi Selatan dan seorang ditahan di Poso, Sulawesi Tengah,” tambahnya.
Daripada suspek yang ditahan di Poso, sebuah kawasan dikenali sebagai pangkalan kumpulan pengganas Mujahidin Indonesia Timur (MIT), polis merampas bukti seperti telefon bimbit, senjata buatan tangan dan senapang raifal udara.
Manakala seorang lagi suspek merupakan kakitangan kerajaan dengan nama awal N, 58, yang diberkas di Maros, Sulawesi Selatan. Semua suspek pengganas adalah ahli Villa Mutiara, dikaitkan dengan organisasi Jemaah Ansharut Daulah (JAD) yang bersengkokol dengan Islamic State (IS), kata Zulpan. – AFP