JAKARTA, 23 OKT – Indonesia dan Brazil bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala serta memeterai beberapa perjanjian hari ini ketika pemimpin kedua-dua negara itu bertemu di Jakarta, dengan ekonomi terbesar Asia Tenggara itu berhasrat memperluas pengaruhnya di pasaran Amerika Selatan.
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, disambut dengan perarakan pancaragam dan lagu kebangsaan dalam satu upacara rasmi di Istana Presiden Jakarta sebelum mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Prabowo Subianto.
Kedua-dua pemimpin itu menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian dalam bidang minyak, gas, elektrik, teknologi, perlombongan dan pertanian. Langkah itu diambil beberapa bulan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengenakan tarif sebanyak 19 peratus terhadap import dari Indonesia di bawah perjanjian baharu, serta tarif 50 peratus terhadap produk Brazil.
“Bagaimana dua negara penting di dunia seperti Indonesia dan Brazil, yang secara keseluruhan mempunyai hampir 500 juta penduduk, hanya mempunyai jumlah dagangan sebanyak AS$6 bilion?” kata Lula dalam sidang media bersama selepas rundingan.
“Itu tidak mencukupi bagi Indonesia dan juga tidak mencukupi bagi Brazil.”

Menurut Prabowo, kedua-dua negara sedang berusaha menubuhkan perjanjian perdagangan bebas antara kuasa ekonomi Asia Tenggara itu dengan blok Amerika Selatan, Mercosur, yang dianggotai Brazil, Argentina, Paraguay, Bolivia dan Uruguay.
“Saya percaya ini akan mengukuhkan hubungan kita dan menjadikan ekonomi kedua-dua negara serta ekonomi Amerika Latin berkembang dengan pesat,” kata Prabowo kepada Lula.
Dalam sidang media itu juga, Prabowo menyifatkan kedua-dua negara sebagai dua kuasa ekonomi baharu yang sedang meningkat dan menegaskan perlunya untuk meningkatkan perdagangan.
Brazil dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah memperkukuh hubungan dengan Asia Tenggara dan penyertaan Lula dalam Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Malaysia yang bermula Ahad ini, yang pertama oleh seorang Presiden Brazil, menandakan penglibatan politik negara itu yang semakin meluas di rantau berkenaan.
Brazil juga merupakan antara rakan dagangan utama Indonesia di Amerika Selatan. Jumlah dagangan keseluruhan antara kedua-dua negara dari Januari hingga Ogos tahun ini bernilai AS$4.3 bilion, menurut data Jabatan Perangkaan Indonesia. – AFP

