Tuesday, January 7, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia buka kilang bateri EV pertama

    JAKARTA, 3 JULAI – Indonesia melancarkan kilang bateri kenderaan elektrik (EV) pertamanya hari ini, kata Presiden Joko Widodo, ketika negara-negara Asia Tenggara bersaing untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri yang berkembang pesat itu.

    Negara tersebut yang merupakan ekonomi terbesar di rantau itu dan rumah kepada rizab nikel terbesar di dunia, berusaha menjadi pemain utama dalam rantaian bekalan EV global.

    Kilang itu adalah usaha sama antara pengeluar Korea Selatan Hyundai Motor Group dan LG Energy Solution (LGES) dan boleh menghasilkan sehingga 10 Gigawatt jam (GWj) sel bateri setiap tahun.

    Widodo berkata kilang itu, yang terletak di bandar Karawang, Jawa Barat, adalah ‘yang terbesar di Asia Tenggara’.

    Pembukaannya menandakan ‘bab baharu’ yang menggariskan cita-cita negara yang kaya sumber itu untuk menjadi pemain global dalam rantaian bekalan EV, kata Widodo pada pelancaran itu.

    Presiden Indonesia Joko Widodo bercakap dengan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hyundai Motor semasa pemeriksaan kilang pembuatan bateri EV oleh PT Hyundai LG Indonesia-Green Power di Karawang, Jawa Barat, kelmarin.– AFP

    “Kami mempunyai sumber asli yang banyak, tetapi selama beberapa dekad kita hanya mengeksportnya dalam bentuk bahan mentah tanpa nilai tambah,” katanya.

    “Tetapi sekarang dengan kilang relau sedang dibina, dengan sel bateri EV dibina, kami akan menjadi pemain global yang penting dalam rantaian bekalan global untuk EV”.

    Kilang itu adalah sebahagian daripada perjanjian bateri EV bernilai AS$9.8 bilion yang ditandatangani antara Indonesia dan LG pada 2020.

    Ia akan mengeluarkan bateri untuk kenderaan elektrik Hyundai, dengan 50,000 SUV elektrik Kona dijangka akan dikuasakan oleh bateri buatan Indonesia.

    Syarikat usaha sama PT HLI Green Power dijangka membelanjakan AS$2 bilion untuk meningkatkan kapasiti loji kepada 20 GWj.

    Pengerusi Eksekutif Hyundai Motor Group, Euisun Chung berkata industri EV Indonesia akan mewujudkan peluang ekonomi baharu.

    “Negara ini merupakan pasaran automotif terbesar di Asia Tenggara. Kenderaan yang dihasilkan dan dijual di sini adalah standard bagi rantau Asia Tenggara dengan 700 juta pelanggan berpotensi,” katanya menerusi jurubahasa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda