JAKARTA, 16 JULAI – Pihak berkuasa imigresen Indonesia mengumumkan bahawa warga asing kini layak memohon visa tinggal terbatas (VITAS) untuk mengikuti pendidikan bukan formal di negara itu, lapor agensi berita ANTARA.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pemangku Ketua Pengarah Imigresen, Yuldi Yusman berkata visa kategori E30 – yang diperkenalkan khas untuk pendidikan bukan formal – boleh diluluskan bagi tempoh satu atau dua tahun.
Permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi laman sesawang evisa.imigrasi.go.id. “Untuk memohon, warga asing mesti mempunyai penjamin – sama ada individu atau institusi pendidikan bukan formal yang akan mereka sertai,” jelas Yusman.
Dasar baharu yang berkuat kuasa mulai kelmarin itu bertujuan menyokong warga asing yang ingin mengikuti kursus bahasa, latihan vokasional atau profesional, serta program pendidikan bukan formal lain bagi meningkatkan kerjaya mereka.
Keperluan visa adalah hampir sama dengan kategori lain: pasport yang sah sekurang-kurangnya enam bulan, bukti kewangan mencukupi untuk menampung kos sara hidup di Indonesia (minimum AS$2,000), dan gambar berwarna terkini.
Kerajaan menetapkan bayaran visa E30 pada kadar Rp6 juta bagi tempoh setahun dan Rp8.5 juta bagi tempoh dua tahun (AS$1 = Rp16,287). – Bernama


