Indonesia catat 3,003 kes positif baharu

JAKARTA, 28 OGOS – Indonesia mencatatkan 3,003 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi sejak kes pertama dikesan pada 2 Mac lepas.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, kes positif keseluruhan kini meningkat kepada 165,887 kes, manakala jumlah kematian keseluruhan sebanyak 7,169 orang.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 105 lagi kematian berlaku di republik berkenaan.

Bagi tempoh 24 jam itu, provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes positif baharu tertinggi iaitu 869 kes, dengan 10 lagi kematian.

Provinsi Jakarta kini mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 37,082 kes, diikuti Jawa Timur (32,113) dan selebihnya di 32 provinsi lain. – Bernama

Seorang pekerja perbandaran melukis mural berkempen menentang koronavirus COVID-19 di sebuah tembok di Jakarta pada 27 Ogos 2020. – AFP