Thursday, November 14, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia, China setuju perkukuh kerjasama maritim

    JAKARTA, 11 NOV – Indonesia dan China bersetuju untuk memperkukuh kerjasama maritim di Laut China Selatan, seperti yang termaktub dalam Deklarasi 2002 Kod Tatalaku Pihak Berkepentingan yang dipersetujui oleh negara-negara ASEAN dan China.

    Kerjasama itu bertujuan untuk mempromosikan keamanan, persahabatan dan kestabilan di rantau ini, dengan fokus utama pada kerjasama ekonomi terutamanya dalam sektor perikanan dan pemuliharaan, berdasarkan rasa hormat dan kesaksamaan.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar Indonesia memaklumkan bahawa kerjasama itu akan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh setiap negara.

    “Bagi Indonesia, kerjasama ini mesti mematuhi pelbagai undang-undang dan peraturan yang berkaitan, termasuk undang-undang yang mengawal perairan wilayah; undang-undang berkaitan ratifikasi perjanjian maritim antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

    Ia juga harus mematuhi ratifikasi perjanjian dua hala mengenai status undang-undang perairan atau penentuan sempadan maritim serta peraturan mengenai marine spatial planning, pemuliharaan dan pengurusan perikanan, percukaian dan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kementerian, semua tanggungjawab dan perjanjian antarabangsa Indonesia yang berkaitan dengan kawasan itu akan kekal tidak terjejas dan sah tanpa sebarang perubahan.

    Indonesia juga percaya bahawa kerjasama berkenaan akan menyumbang kepada penyelesaian Kod Tatalaku di Laut China Selatan yang akan mewujudkan kestabilan di kawasan terbabit, menurut kenyataan itu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda