Tuesday, February 25, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia dan Arab Saudi meterai perjanjian sijil vaksin digital

    JAKARTA, 24 FEB – Kementerian Kesihatan Indonesia dan Arab Saudi memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengukuhan kapasiti sumber manusia (HR), melalui pertukaran dan latihan, serta pertukaran sijil vaksin digital, lapor agensi berita ANTARA.

    “Kami akan mengadakan pertukaran HR dan kepakaran antara organisasi ini,” kata Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin, selepas majlis menandatangani perjanjian di Jakarta pada hari ini.

    Sadikin menekankan bahawa beberapa universiti di Indonesia dan syarikat dari Arab Saudi akan terlibat dalam program pertukaran HR tersebut.

    Universiti yang terlibat termasuk Universiti Gadjah Mada (UGM), Universiti Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) dan Universiti Nahdlatul Ulama Surabaya (UNUSA).

    Sementara itu, syarikat dari Arab Saudi yang terlibat dalam program berkenaan ialah Health Holding Company. Sadikin optimis bahawa kerjasama itu akan menyokong pemindahan ilmu kepada doktor dan jururawat yang akan menjalani latihan di Arab Saudi.

    “Kami memerlukan program ini untuk meningkatkan standard pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dari Arab Saudi,” tegasnya.

    Selain itu, kedua-dua negara akan bekerjasama dalam pertukaran sijil vaksin digital bagi meningkatkan perkhidmatan umrah dan haji untuk jemaah dari Indonesia. Sadikin menegaskan bahawa kerjasama itu penting kerana ia menangani isu barisan panjang di kaunter imigresen, bagi proses pengesahan sijil vaksin jemaah haji dan umrah.

    Gambar fail AFP

    Mengenai kerjasama dalam bidang vaksin, beliau mengumumkan bahawa Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahd Abdulrahman Al-Jalajel, akan melawat Biofarma untuk menilai keupayaan pengeluaran vaksin di Indonesia.

    Lawatan itu berasaskan kepercayaan bersama bahawa pengeluaran vaksin perlu diagihkan secara saksama di negara membangun, termasuk di Afrika, Asia Timur, Timur Tengah, Indonesia, Asia Selatan dan Amerika Selatan.

    “Jika berlaku satu lagi pandemik, kita akan mempunyai kapasiti mencukupi untuk menghasilkan vaksin bagi lapan bilion orang,” kata Sadikin.

    Sementara itu, Fahd Abdulrahman Al-Jalajel berkata dalam Visi 2030 Arab Saudi, pihaknya berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan dengan lebih berkesan dan cekap.

    “Semasa lawatan ini, syarikat kesihatan turut bersama kami dan mereka telah menandatangani empat perjanjian. Perjanjian ini berkaitan tenaga kerja dan latihan, untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja di kedua-dua negara,” katanya.

    Beliau berharap lebih banyak kerjasama dapat dijalin pada masa hadapan, selain perjanjian yang dirancang dengan Biofarma yang akan dilaksanakan pada 25 Februari.

    Terdahulu, Kementerian Kesihatan Indonesia dan Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) bekerjasama dalam melaksanakan 38 pembedahan bagi kes penyakit jantung kongenital. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda