JAKARTA, 28 JAN – Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur mengesahkan telah mendapat akses konsular untuk bertemu dengan empat rakyatnya yang cedera esok, susulan insiden tembakan melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor pada Jumaat lepas.
Kementerian Luar Indonesia dalam kenyataan mengesahkan kedutaannya di Kuala Lumpur telah dimaklumkan empat rakyatnya yang cedera sedang menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil.
“Setakat 27 Januari, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa warga Indonesia dikenali dengan inisial ‘B’ dari Provinsi Riau, yang telah meninggal dunia, dapat dipulangkan selepas prosedur forensik selesai,” menurut kenyataan itu.
Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur telah menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Malaysia, menggesa siasatan menyeluruh dan menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan penggunaan kekerasan yang berlebihan.
Kementerian dan kedutaan akan terus memantau kes itu dan menyediakan bantuan konsular serta perundangan bagi memastikan hak rakyatnya terjamin di bawah undang-undang Malaysia.
Pada 24 Januari, APMM yang sedang meronda melepaskan tembakan ke arah sebuah lagi bot yang didakwa cuba menyerang anggotanya di perairan Tanjung Rhu, Selangor kira-kira jam 3 pagi, menurut kementerian itu.
Terdahulu, Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Abdul Kadir Karding, menyatakan pihaknya masih belum dapat bertemu pekerja migran Indonesia tanpa izin yang cedera kerana masih di bawah pengawasan pihak berkuasa Malaysia di beberapa hospital.
Ketua Pengarah APMM, Mohd Rosli Abdullah mengatakan siasatan kes itu dijalankan PDRM dan APMM sedia memberi kerjasama penuh, manakala anggota yang terlibat ‘direhatkan’ sehingga siasatan selesai. – Bernama