Indonesia didesak ‘lockdown’

JAKARTA, 29 MAC – Pelbagai pihak di Indonesia kini mendesak pemerintah pusat menguatkuasakan ‘lockdown” atau perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan kes kematian akibat virus COVID-19 semakin membimbangkan.

Sebanyak 12 lagi kematian dicatat dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kes sejak kematian pertama pada 11 Mac kini meningkat kepada 114.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 130 kes positif baharu dicatat menjadikan jumlah kes kini sebanyak 1,285 kes,” kata jurucakap Pemerintah Indonesia berkaitan COVID-19, Achmad Yurianto.

Sejak penularan virus itu di Wuhan, China, pemerintah Indonesia mengambil tindakan secara berperingkat dalam membendung wabak tersebut seperti menyekat kemasukan pelawat dari China sebelum menutup sepenuhnya kemasukan pelawat luar dan menghalang rakyatnya ke luar negara mulai 20 Mac.

Pada 16 Mac, Indonesia bertindak menutup sekolah, pusat pelancongan, tempat ibadat serta melarang aktiviti perhimpunan dalam skala besar-besaran sebelum diperluaskan kepada penutupan pusat hiburan, pembatasan jumlah penumpang dan frekuensi serta tempoh masa perkhidmatan pengangkutan awam, kempen jarakan sosial dan arahan bekerja dari rumah bagi sektor bukan kritikal, yang dikuatkuasakan sehingga 19 April.

Seorang lelaki Indonesia memakai topeng muka melintasi mural di tengah-tengah kebimbangan wabak koronavirus di Tangerang, 29 Mac. Indonesia mengesahkan 1,285 jangkitan disahkan, dengan 114 kematian setakat ini, tertinggi di Asia Tenggara ketika pemimpinnya diseru melaksanakan ‘lockdown’ segera. – AFP

Pelbagai pihak termasuk pemimpin politik, golongan akademik, aktivis masyarakat, warganet serta media Indonesia kini mendesak pemerintah pusat menguatkuasakan segera lockdown atau PKP antara wilayah di Indonesia.

Mereka khuatir pergerakan orang ramai, terutama dari Jakarta dan kota berhampiran yang penduduknya berjumlah lebih 30 juta orang dan mencatat jumlah kematian serta kes positif tertinggi ketika ini, akan memburukkan lagi penularan virus itu ke wilayah lain.

Mengikut pecahan kes kematian, Jakarta mencatat 68 kes diikuti Jawa Barat (17 kes) dan selebihnya wilayah-wilayah lain di Indonesia. – Bernama

Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia Mahfud MD dalam satu kenyataan menyebut bahawa pemerintah pusat merancang untuk melaksanakan kuarantin wilayah atau pembatasan pergerakan antara wilayah (provinsi atau negeri) di Indonesia.

“Kuarantin wilayah itu berbeza dengan konsep “lockdown” atau perintah berkurung, pelaksanaan atau arahan kuarantin wilayah itu adalah bidang kuasa pemerintah pusat,” katanya.

Kuarantin wilayah itu bermaksud pembatasan pergerakan orang ramai antara satu wilayah (provinsi atau negeri) ke wilayah lain di seluruh Indonesia. – Bernama